Kevin menyifatkan ia satu-satunya cara bagi menyelesaikan isu penggantungan sementara Karapah oleh Makaf sejak 1 Jun 2017, sekali gus menjejaskan ahli-ahli persatuan berkenaan untuk mengundi dalam pemilihan Ahli Jawatankuasa Makaf hujung bulan depan.

“Kami menerima surat daripada Makaf untuk menggantung Karapah pada 1 Jun 2017. Keputusan itu mengejutkan kami hingga mengakibatkan persatuan tidak dapat berkembang dan menyumbang ke arah pembangunan sukan karate Pahang serta kebangsaan.

“Jawatankuasa Disi­plin Makaf yang ditubuhkan untuk menyiasat perkara ini mengesyorkan penggantungan terhadap Karapah tidak sah pada Mesyuarat Majlis Ter­tinggi Makaf di Melaka pada 21 September lalu berdasarkan bukti dan dokumen dikemukakan pihak kami.

“Ia tidak adil kerana penggantungan kami tetap tidak ditarik semula oleh Makaf mengakibatkan Karapah tidak boleh mengundi pada pemilihan AJK Makaf yang akan diadakan pada 28 Oktober ini.

“Ia jelas terbukti untuk menghalang Karapah supaya tidak mengundi pada pemilihan Mesyuarat Agung Dwitahunan (BGM) Makaf nanti. Pihak kami ingin memohon jasa baik Menteri Belia dan Sukan untuk campur tangan dalam menyelesaikan isu ini,” katanya.

Kevin berkata demikian sewaktu sidang akhbar Karapah untuk menjelaskan perkara sebenar isu penggantungan sementara persatuan berkenaan di Kuala Lumpur semalam.

Menurutnya, penggantungan sementara itu menyebabkan atlet-atlet remaja Karapah yang berpotensi tidak mendapat peluang mewakili Malaysia demi kemajuan karier mereka dan industri sukan karate negara.

Kevin percaya sekiranya penggantungan sementara Karapah ditarik semula agar mereka dibenarkan terlibat secara langsung dalam Makaf, masa depan sukan karate negara akan kembali menyinar dan mampu mempunyai wakil bertanding pada Sukan Olimpik 2020.

Sehubungan itu, beliau amat berharap pembabitan Menteri Belia dan Sukan menyelesaikan segera isu yang sudah dimaklumkan kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan agar membenarkan Karapah menyertai BGM supaya perubahan dalam pemilihan dapat dilakukan.