Memasuki edisi kelima, kejohanan tersebut yang bermula pada 9 hingga 11 November itu disertai lebih 50 buah negara.

Peserta dari Jepun, Singapura, Australia dan Filipina merupakan yang paling ramai mengambil bahagian.

Pengarah Urusan Ironman Asia, Geoff Meyer berkata, penyertaan Ironman Langkawi mendapat sambutan hangat apabila slot edisi tahun ini telah habis dijual sebelum tarikh tu­tup pendaftaran iaitu 20 Oktober lalu.

"Kami sangat teruja dengan sambutan dari komuniti Ironman di seluruh dunia. Sambutan yang memberangsangkan ini membuktikan Langkawi adalah satu destinasi yang mengagumkan selain kaya dengan sejarah.

"Ironman Langkawi bakal menawarkan 50 slot ke Kejuaraan Ironman Dunia 2018 di Kailua-Kona, Hawaii. Sudah pasti ia menjadi lokasi terbaik buat mereka yang ingin memburu slot ke kejuaraan dunia.

"Tahun ini saingan Ironman Langkawi mendapat sambutan terbaik dan sudah pasti acara kemuncak pada Sabtu ini bakal memberi pengalaman berharga kepada peserta-peserta yang mengambil bahagian," katanya semalam.

Meyer turut mengakui keha­diran atlet-atlet antarabangsa menyertai saingan Ironman 2017 dapat membantu melonjakkan lagi industri pelancongan di pulau pelancongan itu.

"Kualiti perlumbaan yang baik dan konsisten sejak penganjuran yang lepas menjadi faktor utama sambutan yang baik di Langkawi.

"Kami percaya sokongan daripada masyarakat setempat dan pihak berkuasa tempatan di Langkawi turut membantu meningkatkan lagi mutu penganjuran acara ini dari semasa ke semasa," ujarnya.

Perlumbaan Ironman me­rangkumi disiplin renang sejauh 3.8 kilometer (km), berbasikal 180km dan larian 42.2km akan membawa peserta menyusuri bahagian barat Langkawi yang menawarkan keindahan dan keunikan tersendiri pulau ini.

Acara renang akan diadakan di Pantai Kok sementara laluan berbasikal menawarkan pemandangan menarik sebelum diakhiri dengan acara larian yang berakhir di pantai terkenal, Pantai Chenang.

Bagi acara Ironman kate­gori kanak-kanak yang akan dipertandingkan hari ini turut melibatkan disiplin larian 500 meter, 1 kilometer (km) dan 1.5km.

Perlumbaan Ironman Malaysia 2017 turut menawarkan hadiah keseluruhan USD 25,000 (RM 105,605).