Pemain yang menduduki ranking 39 dunia itu berjaya menewaskan wakil Jepun, Kanta Tsuneyama de­ngan keputusan 22-20, 21-23, 22-20 dalam tempoh satu jam 20 minit.

Ia merupakan kejayaan pertama pemain berusia 30 tahun itu mara ke separuh akhir Kejohanan Dunia yang mana kali terakhir dia meraih kejuaraan Super Siri ialah pada Kejohanan Terbuka Perancis 2012.

Daren sebelum ini mengakui bahawa pencapaiannya pada kejohanan tersebut adalah yang paling berjaya sejak menjadi pemain bebas pada 2016.

“Saya tekad melakar pencapai­an yang lebih baik dari ini dan akan terus berjuang sehingga mara ke final. Pada mulanya saya langsung tidak sangka boleh mara melepasi pusingan pertama dan kini saya berada pada tahap yang lebih tinggi.

“Saya turun tanpa tekanan kerana saya bukan pemain pilihan kejohanan,” ujarnya.

Pada aksi di sebelah petang, beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying menamatkan kecemerla­ngan mereka setakat di pusingan suku akhir apabila tewas kepada pemain pilihan ketiga kejohanan dari Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet 21-12, 11-21, 21-10.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria mengakui kagum dengan impak yang dipamerkan oleh Daren yang melakar kejutan untuk mara ke pusingan suku akhir.

Katanya, pada masa hadapan BAM akan terus membuka peluang kepada pemain badminton profesional negara menyertai kejohanan berprestij seperti Kejohanan Badminton Dunia.

“Saya rasa ia satu perkembangan yang begitu positif kepada arena badminton negara. Apabila kita ketandusan pemain perseorangan, kehadiran pemain profesional seperti Daren sangat kita perlukan.

“Ia secara tidak langsung memberi gambaran bahawa pemain profesional di Malaysia turut memiliki kualiti yang luar biasa dan kita akan terus memberi peluang kepada pemain-pemain ini beraksi di pentas antarabangsa.

“Pada masa yang sama, saya yakin, pemain yang berada di bawah BAM akan berasa tercabar. Ia pastinya akan memberi mereka motivasi untuk terus bekerja dengan lebih keras untuk mencapai tahap seperti yang kita harapkan.