Bagaimanapun, Daren, 31, menegaskan, ia perlu bergantung pada hasil pemeriksaan terhadap tahap kecede­raannya terlebih dahulu selepas cedera achilles kaki kanan ketika aksi suku akhir Kejohanan Badminton Dunia 2018 di Nanjing, China, Sabtu lalu.

“Lebih baik tanya BAM kerana saya sendiri tiada sebarang maklumat sama ada (akan) bermain (acara) perseorangan atau berpasukan.

“Saya boleh mempertimbangkannya. Ia bergantung pada tahap kecedera­an saya, mungkin boleh jika ia tidak serius,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Pengerusi Jawatan­kuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) BAM, Datuk Ng Chin Chai yang juga Setia­usaha Kehormat BAM, mengakui badan induk itu mempertimbangkan membawa Daren ke Sukan Asia 2018 berdasarkan prestasi cemerlangnya pada kejohanan tersebut.

Daren muncul wakil tunggal negara pada Kejohanan Badminton Dunia selepas jaguh perseorangan, Datuk Lee Chong Wei menarik diri kerana masalah kesihatan dan bekas pemain naungan BAM itu tidak menghadapi masalah untuk mencipta kejutan demi kejutan dalam kejohanan tersebut.

Langkah pemain ranking ke-39 dunia itu terhenti pada peringkat separuh akhir selepas tewas kepada Kento Momota dari Jepun dengan keputusan straight-set 16-21, 5-21 dalam pertarungan selama 37 minit.

Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria semalam mendedahkan, pihaknya akan berbincang dengan Daren dan sudah memberitahu Chin Chai supaya berbincang dengan ketua jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Misbun Sidek berhubung perkara berkenaan.

Jika Daren terpilih, pemain itu yang pernah menduduki ranking ke-10 dunia lima tahun lalu akan menggantikan salah satu nama antara Cheam June Wei atau Soong Joo Ven pada Sukan Asia 2018.

Selain Daren, BAM tu-
rut mempertimbangkan Aaron Chia-Soh Wooi Yik ke Sukan Asia 2018, sekali gus menyaksikan nama Goh V Shem-Tan Wee Kiong atau Teo Ee Yi-Ong Yew Sin perlu digugurkan jika beregu lelaki muda itu terpilih ke Jakarta.