DAREN akan memainkan peranan penting buat negara menjelang pertemuan
DAREN akan memainkan peranan penting buat negara menjelang pertemuan menentang Jepun pada Sukan Asia 2018 di Istora Senayan, Indonesia Ahad ini.

Daren menjadi prospek utama skuad negara selepas menggantikan tempat Datuk Lee Chong Wei sekali gus memainkan pera­nan penting dalam menentukan sama ada pasukan badminton negara mampu me­langkah ke suku akhir.

Meskipun turun sebagai pasukan underdog, ketua jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek tetap meletakkan kepercayaan tinggi kepada Daren untuk memperoleh mata pertama meskipun menyedari bakal berdepan cabaran hebat da­ripada Jepun.

“Seandainya perseorangan pertama bo­leh menyumbang mata, dua lagi pemain boleh berusaha untuk memberikan mata seterusnya.

“Ketika ini, saya lihat pemain-pemain kita tidak terlalu menghormati lawan dan kita boleh menyangka kekuatan lawan, jadi tiada apa yang perlu dibimbangkan, mereka ha­nya perlu ke gelanggang dan lawan sahaja.

“Lee Zii Jia merupakan antara pemain yang pertama kali beraksi di sini. Jika melihat standard permainannya, ia setan­ding Kenta Nishimoto (Jepun) dan dia lebih berpeluang untuk menang,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Istora Sena­yan semalam.

Sementara itu, ketua jurulatih beregu lelaki negara, Paulus Firman berkata, meskipun Jepun memiliki kekuatan yang ketara, namun peluang buat pasukan negara tetap ada.

“Dalam aksi pertama dalam mana-mana kejohanan, apa-apa juga boleh terjadi tetapi walau apa jua keadaannya, kita percaya peluang itu tetap ada.

“Paling penting, pemain perlu fokus de­ngan permainan mereka dan cuba lakukan yang terbaik,” katanya.