Perkara tersebut di­sahkan oleh ejen Jorginho, Joao Santos yang percaya pemain kelahiran Brazil yang bermain untuk skuad kebangsaan Itali itu tidak akan berhijrah ke pasukan lain dalam masa terdekat selepas menandatangani kontrak jangka panjang pada musim 2018.

“Tiada apa yang berlaku pada jendela perpindahan antarabangsa baru-baru ini kerana Jorginho tidak mendapat sebarang tawaran daripada mana-mana pasukan. Secara jujurnya, saya rasa dia (Jorginho) sangat gembira untuk kekal bagi tempoh yang lama bersama Chelsea.

“Situasi yang sama telah berlaku sepanjang karier­nya ketika mewakili Hellas Verona dan Napoli apabila dia menandatangani kontrak jangka panjang. Jus­teru, saya percaya dia akan terus berada di Stamford Bridge sekurang-kurang­nya empat tahun lagi,” katanya.

Pemain berusia 28 tahun tersebut sebelum ini dilaporkan sangat berminat untuk mengikut jejak bekas pengendali Chelsea dan Napoli, Maurizio Sarri yang kini membimbing pa­sukan Juventus.

Namun, Juventus tidak mahu membuat sebarang bidaan rasmi kerana mempunyai ramai pemain bertaraf bintang di posisi te­ngah seperti Aaron Ramsey, Emre Can, Sami Khedira, Adrien Rabiot, Rodrigo Bentancur dan Miralem Pjanic.

Sementara itu, pengendali baharu Chelsea, Frank Lampard turut berhasrat untuk mengekalkan Jorginho untuk jangka masa panjang selepas pemain itu berjaya beraksi dengan cemerlang di bawah falsafah serta taktikal yang diterapkannya musim ini. – Agensi