Sambil menyifatkan dakwaan itu tidak berasas, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Howard Lee Chuan How (gambar) berkata, berdasarkan maklum balas daripada atlet serta pegawai kontinjen Sukma, mereka tidak mempunyai sebarang masalah dengan tempat penginapan yang disediakan.

“Malah, apabila kami mengadakan mesyuarat dengan kesemua 14 ketua kontinjen negeri semalam (kelmarin), tidak timbul isu penginapan seperti yang dilaporkan dalam beberapa akhbar tempatan.

“Gambar yang tular (di media sosial) kononnya tilam untuk para atlet usang dan tidak ada katil disediakan untuk mereka juga tidak benar kerana atlet sendiri yang meletakkan tilam itu di atas lantai untuk mereka bersantai,” katanya.

Howard berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Menteri Besar, Ahmad Faizal Azu­mu merasmikan Perkampungan Sukan Sukma Perak 2018 di Politeknik Ungku Omar semalam.

Beliau mengulas laporan beberapa akhbar tempatan mendakwa penginapan Perkampungan Sukan Sukma Perak 2018 di Institut Latihan Perindustrian (ILP) di Ipoh tidak selesa dan uzur menyebabkan ketidakselesaan atlet sepanjang temasya kali ini.

Laporan itu turut mendakwa keadaan tilam yang usang, lokar yang pecah, bilik air yang tidak boleh digunakan serta menjadi tempat pembiakan nyamuk menyebabkan ada kalangan kontinjen memilih hotel bajet atau rumah inap sebagai tempat penginapan.

Dalam pada itu, Howard berkata, terserah kepada kontinjen negeri atau para atlet yang memilih untuk menginap di hotel dan tidak menginap di tempat penginapan yang disediakan.

“Sekiranya ada kontinjen yang berasakan atlet mereka yang dianggap sebagai atlet elit atau luar biasa terserah kepada mereka (memilih menginap di hotel).

“Saya cuma meminta mereka (kontinjen dan atlet) tidak menyerang (melemparkan pelbagai tuduhan) kepada kami secara tidak berasas berkaitan isu tempat penginapan,” katanya.