Courtois mula menempa nama sebagai salah seorang penjaga gol terbaik dunia ketika beraksi bersama Atletico selama tiga musim pada 2011 hingga 2014, namun tindakannya menyertai Real dari Chelsea tahun lalu me­nimbulkan kemarahan penyokong Atletico.

Bagaimanapun, pemain antarabangsa Belgium itu menganggap pertemuan antara dua musuh setempat berkenaan sentiasa menjanjikan aksi panas dan dia sudah bersedia untuk menghadapinya.

“Ia sentiasa berlaku dalam bola sepak, terutamanya pada pertemuan setempat seperti Real dan Atletico. Mereka mungkin akan mencemuh dan mengejek tetapi itulah yang perlu dihadapi kerana ia sebahagian daripada bola sepak.

“Saya sentiasa menghormati penyokong-penyokong Atletico tetapi sekarang saya adalah pemain Real. Jadi, saya sedia untuk berdepan dengan segala kemungkinan,” kata Courtois.

Bekas pemain Chelsea itu juga mengakui dia sudah semakin menyesuaikan diri dengan suasana pasukan tersebut biarpun dikritik hebat peminat sendiri selepas gagal menampilkan aksi dimahukan.

“Saya sudah semakin selesa bersama pasukan ini walaupun memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri. Jika kami mahu kembali ke landasan sebenar, inilah masa yang paling sesuai untuk lakukannya,” ujarnya. – Agensi