Meskipun ketinggalan 0-1 secara agregat, namun bekas pengendali Barcelona itu percaya pasukannya masih mampu melakukan kebangkitan dengan menyingkirkan Spurs, terutamanya apabila beraksi di laman sendiri pada perlawanan itu nanti.

Memandangkan City dianggap sebagai pasukan pilihan untuk memenangi Liga Juara-Juara musim ini, Guardiola turut menggesa anak-anak buah-nya supaya menampilkan aksi terbaik mereka, sekali gus menempah tempat di peringkat separuh akhir.

“Jika anda tanya apa yang akan berlaku, saya akan be-ritahu bahawa kami mampu melayakkan diri ke peringkat separuh akhir. Selepas melakukan analisis terhadap aksi sebelum ini, saya boleh katakan kami sudah bersedia untuk merealisasikannya.

“Dalam bola sepak, setiap perlawanan merupakan proses pembelajaran untuk setiap pemain. Ada sesetengah pemain yang memilih untuk terus maju ke hadapan, sementara ada pemain mengambil keputusan untuk berhenti di tengah jalan. Namun apa yang saya tahu ialah semua pemain pasukan ini mahu teruskan perjuangan,” kata Guardiola.

Pengurus dari Sepanyol itu juga menegaskan, mereka memulakan saingan Liga Juara-Juara musim ini menerusi kekalahan 1-2 kepada Olympique Lyon, namun masih mampu bangkit dan melepasi saingan peringkat kumpulan selaku juara.

“Saya yakin kami mampu ke separuh akhir kerana kami pernah berada dalam situasi seperti ini ketika tewas kepada Lyon, jadi kami akan ulangi aksi tersebut serta jaringkan lebih banyak gol pada perlawanan itu nanti,” ujarnya. – Agensi