Situasi tersebut dilihat akan terus memberi tekanan kepada Liverpool yang jatuh di kedudukan kedua tetapi masih mempunyai baki satu perlawanan.

Menurut bekas pengendali Bayern Munich serta Barcelona itu, mentaliti yang sentiasa dahagakan kejayaan merupakan ramuan utama mereka terus memperagakan aksi cemerlang dalam setiap perlawanan.

“Kami berasa lebih selesa apabila kembali di kedudukan pertama liga. Sebulan lalu, kami ketinggalan 10 mata di belakang Liverpool dan beberapa hari lalu, kami hanya dibezakan dengan tujuh mata.

“Hari ini, kami berjaya me­nyamai 62 mata yang dicatatkan oleh mereka serta kembali di kedudukan pertama dengan kelebihan jaringan gol. Pengajaran yang boleh diambil ialah kami tidak pernah menyerah kalah.

“Pengajaran ini bukan hanya untuk kami sahaja, sebaliknya untuk semua penggiat sukan di seluruh dunia,” katanya.

Pada perlawanan yang berlangsung di Goodison Park itu, pemain pertahanan, Aymeric Laporte berjaya meledakkan gol pembukaan pada minit ke-45 menerusi tandukan disusuli gol kedua hasil pe­nyerang gantian, Gabriel Jesus pada waktu kecederaan.

Mengulas mengenai aksi anak buahnya, Guardiola menjelaskan, pihaknya masih belum berpuas hati dengan rentak permainan yang dipamerkan.

“Sejak bertahun lalu, Goodison Park bukan gelanggang yang memberi tuah kepada kami. Namun hari ini kami bernasib baik kerana menang,” katanya. – Agensi