CHUN YONG
CHUN YONG

Chun Yong yang diundi bersama sembilan lagi calon mengakui pencalonan itu memberikan penghormatan cukup besar dalam kariernya sepanjang menjadi ketua jurulatih pasukan kebangsaan.

“Sebenarnya saya agak terkejut apabila dicalonkan bersama jurulatih-jurulatih terbaik dunia.

“Ini kali pertama di Malaysia, jurulatih futsal diletakkan bersama calon-calon terkemuka dunia. Sudah tentu berasa bangga apabila hasil kerja saya dihargai oleh semua pihak.

“Sudah pasti penghormatan ini membuatkan saya berasa lebih bersemangat untuk membantu futsal negara tetapi saya lebih pentingkan misi negara berbanding peribadi.

“Saya lebih teruja untuk menyaksikan futsal meningkat ke tahap lebih tinggi dan semua pihak harus bekerjasama. Saya juga tidak mahu terlepas untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pihak iaitu staf kejurulatihan, pihak pengurusan dan pemain-pemain di atas kerjasama diberikan selama ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.

Pemilihan pemenang akan dibuat oleh panel yang berpengalaman dalam sukan futsal dari seluruh dunia menerusi undian mulai 1 hingga 8 Januari, manakala pemenang akan diumumkan dua hari kemudian.

Dalam perkembangan sama, Chun Yong berharap jurulatih-jurulatih futsal tempatan akan terus berjuang untuk bersaing dengan tenaga dari luar negara kerana produk tempatan juga memiliki kualiti setanding dengan import.

“Saya berharap pada masa akan datang ramai pengendali kelahiran Malaysia akan dicalonkan kerana kita memiliki ramai jurulatih berpotensi tinggi,” ujarnya.

Chun Yong bakal mengetuai pasukan negara terbang ke Beirut, Lebanon (20 Januari) untuk dua perlawanan persahabatan antarabangsa menentang skuad kebangsaan Lebanon sebelum kembali ke tanah air pada 25 Januari.

Skuad futsal kebangsaan selepas itu akan terbang ke Taiwan pada 30 Januari bagi mengharungi Kejuaraan Futsal Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan A bakal memulakan kempen berdepan Vietnam pada 1 Februari dan tuan rumah, Taiwan pada 3 Februari, kedua-dua aksi berlangsung di Xinzhuang Gymnasium, Taipei City.

Aksi terakhir skuad futsal negara akan bertemu Bahrain pada 5 Februari di University of Taipei Gymnasium, Taipei.