Chong Wei bagaikan ingin membalas dendam apabila langsung tidak memberi ruang kepada juara dunia 2017 itu untuk menarik nafas setelah terus menerus menambah mata pada set pertama.

Viktor cuba bangkit untuk menyeret Chong Wei ke set ketiga, namun gagal berbuat demikian setelah bekas pemain No. 1 dunia itu enggan tunduk kepada telunjuk lawannya itu.

Kemenangan tersebut menebus semula kekalahan tiga kali berturut-turut Chong Wei pada kejohanan Super Siri Dunia Dubai 2016, Terbuka Jepun 2017 dan Super Siri Dunia Dubai 2017.

“Kekalahan tiga kali berturut-turut merupakan motivasi untuk saya memenangi perlawanan ini. Saya nampak dia tidak selesa dengan permainan saya.

“Saya tahu selepas first match dia akan ikut rentak saya, namun saya terus serang dan paksa dia buat kesilapan mudah,” kata Chong Wei yang ditemui pemberita selepas perlawanan.

Sementara itu, Viktor yang terkejut dengan aksi agresif Chong Wei sepanjang perlawanan berdurasi 43 minit tersebut akur dengan kekuatan pemain bintang dunia tersebut.

“Saya hadir ke gelanggang untuk menang, namun Chong Wei terlalu agresif. Saya ada peluang pada set kedua tapi nampaknya nasib tidak menyebelahi saya,” jelasnya.