Difahamkan, Chong Wei berdepan masalah pernafasan, sekali gus menyaksikan dia terpaksa melupakan hasrat untuk memburu gela­ran juara dunia pertama­nya di Nanjing, China minggu depan Sukan dan Asia 2018 Ogos nanti.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan pemain berusia 36 tahun itu dinasihatkan supaya berehat dan tidak terlibat dengan sebarang latihan fizikal sekurang-kurangnya dalam tempoh sebulan.

“BAM faham semua pihak tertanya-tanya mengenai ke­-
tiadaan Chong Wei pada sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) sejak minggu lalu. Kami bersimpati atas apa yang berlaku kepada Chong Wei.

“Kami juga dengan berat hati mengumumkan Chong Wei sudah memaklumkan kepada BAM bahawa dia mengalami masalah pernafasan dan memerlukan rehat bagi menjalani rawatan,” kata BAM menerusi kenya­taan rasmi malam tadi.

Memandangkan keadaan kesihatan yang tidak me­ngizinkan, pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu terpaksa menarik diri daripada menyertai Kejohanan Dunia serta Sukan Asia yang merupakan sasaran utamanya tahun ini.

“Doktor menasihatkan supaya dia berehat sekurang-kurangnya sebulan. Sehubungan itu, kami terpaksa menggugurkan nama Chong Wei daripada menyertai Kejohanan Dunia dan Sukan Asia yang akan datang,” ujarnya.

Jika mengikut peranca­ngan asal, pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2018 itu akan beraksi pada Kejohanan Dunia memandang­kan undian sudah dibuat dengan menyaksikan Chong Wei bertemu jaguh Perancis, Brice Leverdez pada pusingan pertama.

Sekiranya pemain ber­usia 36 tahun itu terpaksa menarik diri daripada menyertai Kejohanan Dunia, maka harapan untuk me­nyaksikan anak Malaysia muncul juara dunia semakin tipis memandangkan hanya Chong Wei yang boleh dikelaskan dalam senarai pemain berkelas dunia.