Perkara itu disahkan Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T), Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Ng Chin Chai yang mengakui bekas pemain No.1 dunia tersebut ada berjumpa dengan jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan.

Chong Wei yang sebelum ini menghidap kanser hidung tahap pertama dilaporkan sudah me­lakukan latihan ringan secara bersendirian selain tidak sabar untuk kembali ke gelanggang.

“Sehingga semalam (kelmarin), dia sudah bercakap dengan Hendrawan selain mengakui sedia kembali ke gelanggang pada bila-bila masa. Saya jangka dua minggu lagi dia akan kembali jalani latihan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bas Tajaan Bank Rakyat di Kuala Lumpur semalam.

Pada masa sama, Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berharap semua pihak terus memberikan ruang buat pemenang tiga pingat perak Sukan ­Olimpik itu untuk menjalani proses pemulihan dengan lebih tenang.

Selain itu, beliau juga melaungkan keyakinan Chong Wei akan bersedia sepenuhnya sebelum saingan kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 bermula Mei depan.

“Saya ada bercakap dengannya tiga hari lepas untuk bertanya mengenai keadaan semasa. Dia ada buat latihan ringan serta je­nguk rakan sepasukan yang lain me­lakukan latihan, jadi kita beri ruang kepada Chong Wei untuk jalani proses pemulihan seperti disarankan doktor.

“Buat masa ini, itu sahajalah perkembangan mengenai Chong Wei, namun saya yakin sebaik sahaja saingan kelayakan Sukan ­Olimpik bermula, dia akan bersedia sepenuhnya,” ujar Norza.

Dalam perkembangan lain, Norza menyuarakan kegembiraannya atas kesudian Bank Rakyat memberikan tajaan bas kepada BAM, sekali gus mampu mengurangkan perbelanjaan tahunan dari segi kos pengangkutan.

“Ini adalah kali pertama dalam tempoh 54 tahun BAM memiliki bas sendiri, jadi ia memudahkan pengangkutan pelajar-pelajar kita dari Sekolah Sukan Bukit Jalil ke Akademi Badminton Malaysia.

“Selain itu, kita juga tidak perlu menyewa bas lagi untuk hantar pemain kita ke lapangan terbang. Justeru, kita mampu menjimatkan hampir RM100,000 setahun menerusi kerjasama dengan Bank Rakyat ini,” katanya lagi.