Ia merupakan penampilan kali pertama beliau bersama kem Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sejak berehat daripada menjalani rawatan kanser hidung pada Julai lalu.

Chong Wei sebelum ini memberi­tahu, beliau akan memulakan latihan lebih intensif pada Isnin ini.

Pada sesi latihan semalam, beliau tiba di BAM pada pukul 8 pagi dite­mani jurulatih, Hendrawan dan bekas jurulatihnya, Datuk Tey Seu Bock.

Chong Wei yang juga pemenang pingat perak Sukan Olimpik tiga kali itu bagaimanapun enggan memberi reaksi kepada media.

Kali terakhir penampilannya adalah pada kejohanan Terbuka Indo­nesia yang menyaksikan beliau tewas pada pusingan separuh akhir ke­pada Kento Momota dari Jepun Julai lepas.

Kemudian, pemain berusia 36 tahun itu menjadi tumpuan media apabila beliau menarik diri daripada dua kejohanan besar tahun lalu iaitu Kejohanan Dunia di Nanjing, China dan Sukan Asia di Indonesia kerana menghidap kanser hidung tahap satu.

Beliau kini telah disahkan sembuh sepenuhnya daripada penyakit itu selepas menjalani rawatan hampir empat bulan di Taiwan.

Sementara itu, ketua jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Misbun Sidek berkata, beliau gembira melihat anak didiknya itu kembali bersemangat dan ceria menjalani pemulihan.

Jelasnya, BAM memberi kebebasan kepada Chong Wei untuk membuat keputusan mengenai latihan dan kejohanan yang akan disertai­nya pada tahun ini.

“Saya tidak mahu mengganggu penampilan beliau. Saya rasa belum masanya lagi untuk berbincang secara lanjut mengenai persiapannya. Apa yang saya lihat tadi (semalam) dia datang untuk melakukan pemanasan badan di gimnasium sahaja,” katanya. – Bernama