China yang meraih tujuh pingat emas angkat berat pada Sukan Asia 2014, antara salah satu daripada sembilan negara dijatuhkan penggantungan 12 bulan oleh Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) kerana beberapa kesalahan doping.

Terdapat khabar angin di Jakarta mengatakan IWF memba­talkan penggantungan itu selepas China menyenaraikan nama atlet-atlet angkat berat yang didapati berada dalam laman rasmi Sukan Asia 2018 sejak dua hari lalu.

Ketua Pengarah OCA, Husain Al Musallam menjelaskan, pihaknya membenarkan China mendaftar nama atlet-atlet berkenaan sebagai langkah persediaan sekiranya IWF membenarkan China bertanding pada saat-saat akhir.

“Bagaimanapun, pihak IWF tidak memberikan sebarang maklum balas kepada kami sama ada membenarkan China dan Kazakhstan bertanding.

“Kami cuma mengikut syarat IWF dan sekiranya pihak IWF memberikan keputusan untuk membenarkan mereka bertan­ding, kami boleh mengesahkannya dalam tempoh lima minit sahaja.

“Kami tiada masalah membenarkan mereka bertanding tetapi segala keputusan bergantung kepada IWF,” katanya.

Antara nama besar yang bakal terlepas pada Sukan Asia 2018 ialah pemenang tiga pingat emas Sukan Olimpik 2016, Shi Zhiyong, Deng Wei dan Meng Suping serta bekas juara Sukan Olimpik 2012, Lyu Xiaojun. – AFP