Nasib salah seorang tonggak utama skuad Harimau Malaya kini dalam keraguan selepas Syahmi mengalami kecederaan bahagian atas buku lali kanan ketika beraksi pada saingan Liga Super bersama Selangor Sabtu lalu.

Perkara tersebut membuatkan Cheng Hoe perlu memikirkan alternatif terbaik sekiranya pemain berusia 21 tahun itu tidak dapat menggalas tanggungjawab bersama skuad negara meskipun berada dalam senarai awal 26 pemain yang dikeluarkan minggu lalu.

“Saya mendapat berita berkenaan kecederaan Syahmi dan berharap ia tidak begitu serius.

“Apabila mengetahui perkara ini, sudah tentu saya risau kerana semua tahu bahawa Syahmi merupakan tonggak utama pasukan dan sangat berpengalaman bersama skuad Harimau Malaya.

“Apa pun, saya akan tunggu keputusan ujian imbasan pengimejan resonans magnetik terlebih dahulu bagi mengetahui tahap sebenar kecede­raannya.

“Sekiranya ia serius, saya akan duduk berbincang dengan barisan kejurulatihan untuk mencari pengganti sesuai bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkannya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sebagai rekod, skuad negara bakal memulakan kem latihan pusat pada 27 Mei ini sebelum menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Nepal di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 2 Jun depan. Perlawanan persahabatan itu diadakan sebelum berlangsungnya aksi pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Timor Leste di stadium sama pada 7 dan 11 Jun depan.