Chelsea berjaya menyambung kontrak salah seorang daripada pemain utama mereka Selasa lalu apabila pemain pertahanan Cesar Azpilicueta meneruskan komitmennya sehingga 2022.

Sarri juga berharap dua tonggak pentingnya, David Luiz dan Cesc Fabregas yang kontrak mereka akan berakhir musim panas depan turut membuat keputusan sama untuk terus kekal di Stamford Bridge.

Bagaimanapun, fokus utama mereka ketika ini terarah kepada Hazard dan The Blues dikatakan bersedia menawarkan gaji £300,000 (RM1.5 juta) seminggu untuk memujuknya kekal.

Sebelum ini, Hazard, 27, mengakui berminat menyertai kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid, namun pada masa yang sama memaklumkan dia juga mungkin akan mengakhiri kariernya di kelab London tersebut.

“Kita semua tahu Eden pemain yang sangat penting bagi kami, sama seperti pemain utama yang lain. Dia tonggak pen­ting bagi kelab ini.

“Terpulang kepadanya untuk membuat keputusan. Kelab ini sanggup menawarkan kontrak baharu kepadanya secepat mungkin, tetapi tiada siapa tahu yang dia akan terima atau tidak.

“Saya mahu Eden kekal di sini, jika itu kemahuannya. Saya tahu ada perbincangan di antara kelab ini dengan ejen Eden, jika ada perkembangan terkini, sudah pasti kelab ini akan membe­ritahu saya,” jelas Sarri. – Agensi