Kapten The Blues, Cesar Azpilicueta menegaskan, pasukan itu sentiasa berjuang untuk meraih kejuaraan, tidak kira dalam situasi apa sekali pun.

Tambah pemain antarabangsa Sepanyol itu, dia dan rakan-rakan sepasukan perlu memberikan segala-galanya pada perlawanan tersebut, lebih-lebih lagi bertemu Liverpool yang merupakan pemenang Liga Juara-Juara.

“Kami semua tahu Chelsea merupakan sebuah pasukan yang sentiasa berjuang mendapatkan kemenangan pada setiap perlawanan. Jika gagal catat kemenangan, anda akan berdepan banyak persoalan berhubung kekalahan itu.

“Semua pemain sedar mereka perlu berada pada tahap terbaik menjelang perlawanan tersebut. Kami perlu ambil tanggungjawab ini kerana kami akan berjuang untuk mendapatkan trofi,” kata Azpilicueta.

Pada masa sama, dia juga tampil mempertahankan dua pemain muda, Tammy Abraham dan Mason Mount yang dikritik bekas pengurus pasukan itu, Jose Mourinho ketika mereka tewas kepada United.

“Mereka berada di kelab ini kerana mereka layak. Kedua-dua pemain itu sentiasa bekerja keras dalam sesi latihan, jadi kami semua percaya pada kemampuan mereka. Saya percaya kami akan bertambah baik dari semasa ke semasa,” ujarnya. – Agensi