Chanta Bin yang merupakan pemain import Kemboja kelahiran Perancis telah menandatangani kontrak selama setahun dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) bersama-sama bekas pemain Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Hyeon Woo dari Korea Selatan.

Pemain tengah import masing-masing berusia 26 dan 28 tahun tersebut akan menyertai skuad Sang Penyu kendalian jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim yang sebelum ini telah mengekalkan khidmat pemain kelahiran Ivory Coast, Tchetche Kipre.

Dalam pada itu, dua lagi pemain import yang disenaraikan adalah bekas pemain import yang sebelum ini mewakili pasukan Negeri Sembilan, Lee Andrew Tuck dan pemain kelahiran Serbia, Igor Zonjic.

Menurut Irfan Bakti, kedua-dua pemain dari Kemboja dan Korea Selatan itu merupakan pemain import bagi kuota Asia dan Asia Tenggara seperti yang digariskan pihak Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP).

"Pemilihan pemain import tersebut menepati kriteria diperlukan pasukan dan kehadiran Thierry bersama Hyeon Woo dapat kuatkan lagi bahagian tengah dan serangan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini. - K! ONLINE