Penyerang antarabangsa Uruguay itu dilihat sebagai calon yang paling sesuai untuk pasukan itu menyelesaikan masalah ketumpulan bahagian jentera serangan mereka.

Pengendali Chelsea, Maurizio Sarri dikatakan cukup berminat dengan gaya permainan Cavani yang berhijrah dari Napoli ke PSG kira-kira enam tahun lalu dengan rekod termahal dalam sejarah kelab Itali itu.

Chelsea ketika ini sekadar meledak 38 gol sepanjang aksi Liga Perdana England menyebabkan Sarri sudah hilang keyakinan terhadap barisan penyerangnya dan menamakan Cavani sebagai antara yang mampu menyelesaikan masalah mereka itu.

Jumlah jaringan tersebut menyaksikan mereka menjadi pasukan yang paling kurang meledak gol berbanding enam kelab utama yang lain sekali gus perlu mencari jalan sekiranya mahu terus memberikan saingan dalam merebut gelaran musim ini.

Ketika ini, Chelsea hanya memiliki dua penyerang utama iaitu Olivier Giroud dan Alvaro Morata yang berdepan masalah ketandusan gol selain Mitchy Batshuayi yang ketika ini sedang dipinjamkan juga merupakan antara yang mungkin dipanggil pulang.

Sarri juga dikatakan akan menjual enam atau tujuh lagi pemain lain pada jendela perpindahan kali ini dalam usaha membentuk sebuah pasukan Chelsea yang baharu dan lebih mantap.

Perkembangan itu juga menyaksikan PSG berpeluang untuk kembali menyeimbangkan akaun kelab itu yang perlu menjual pemain-pemain utama mereka bagi menepati Peraturan Kewangan Adil.

Dalam pada itu, Cavani juga tidak lagi menjadi tonggak utama PSG selain dia juga berminat untuk ke England bersama Chelsea bagi membentuk rangkaian yang mantap bersama Eden Hazard serta Christian Pulisic. – Agensi