Walaupun sukar, pujian wajar diberikan kepada Soon Huat-Shevon selepas cemerlang pada aksi separuh akhir semalam apabila mudah menundukkan wakil Thailand, Dechapol Puavanukroh-Sapsiree Taerattanachai.

Pemain No. 8 dunia itu mudah menempah tiket ke aksi final menerusi kemenangan straight set 21-18, 21-14 hanya dalam tempoh 40 minit.

Menurut Shevon, prestasi mereka kembali melonjak sebaik sahaja menempah tiket ke aksi separuh akhir dan rentak cemerlang itu berjaya diteruskan sehingga mara ke pusingan akhir.

“Kami rasa sangat yakin dengan aksi pada Terbuka Si­ngapura. Ia sekali gus memberi motivasi dan semangat juang luar biasa untuk terus mencipta keputusan yang baik.

“Esok (hari ini) pastinya akan mewujudkan saingan yang sa­ngat sengit lebih-lebih lagi apabila berdepan beregu campuran No. 1 dunia serta juara Sukan Olimpik 2016. Kami perlu bersedia dan menyajikan persembahan lebih baik,” katanya.

Sebagai rekod, wakil tunggal negara tersebut masih belum meraih gelaran utama tahun ini dengan pencapaian terbaik mereka adalah menjuarai Terbuka Jerman, Mac lalu.

Mengulas lanjut, Shevon ya­kin aksi menentang juara Sukan Olimpik itu bakal memberi pengalaman baharu kepada mereka.

“Saya rasa sangat teruja apabila berpeluang merasai sendiri pengalaman beraksi bersama jaguh Sukan Olimpik. Kami perlu turun tanpa perasaan takut kerana pemain berkenaan juga adalah manusia biasa yang boleh melakukan kesilapan dalam gelanggang.

“Harap-harap kami boleh me­lakarkan keajaiban,” katanya.