Oltmans, 65, menegaskan, beliau adalah seorang yang mementingkan aspek kemenangan, namun pada masa sama masih boleh menerima hakikat sekiranya Malaysian Tigers tewas atau dibelasah teruk pada siri jelajah tersebut dengan syarat, barisan pemainnya dapat menunjukkan satu peningkatan yang baik daripada kekalahan itu.

“Saya mahu para pemain mempamerkan kemampuan sebenar mereka dan jangan gentar berlawan dengan pasukan-pasukan dari Eropah. Saya juga mahu progres latihan sekarang dapat diterjemahkan dalam situasi perlawanan di sana nanti.

“Walaupun saya mahu menang, tetapi saya masih boleh menerima kekalahan kerana ia sesuatu yang normal dalam sukan hoki. Contohnya, Belgium belasah Jerman 8-1 tetapi mereka juga pernah seri 4-4 dengan lawan sama dalam saingan Liga Pro FIH.

“Inilah peluang keemasan buat para pemain negara cuba mencari keyakinan mereka kerana bukan senang dapat bermain banyak perlawanan menentang gergasi-gergasi dunia dari Eropah,” katanya pada sidang akhbar pengumuman pemain yang menyertai jelajah berkenaan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil semalam.

Antara kejutan dalam senarai 20 pemain ke Eropah itu ialah dua pemain muda yang diberi peluang membuat penampilan pertama di pentas antarabangsa iaitu penjaga gol, Adrian Andy Albert dan penyerang, Muhammad Noor Firdaus Rosdi.

Dalam Jelajah Eropah itu, skuad negara dijadual menentang Jerman, Sepanyol, Ireland, England, Belanda dan juara Piala Dunia 2018, Belgium sebagai persiapan sebelum menghadapi pusingan Kelayakan Sukan Olimpik 2020 pada Oktober depan.

Bagaimanapun, Oltmans menegaskan, peluang masih terbuka buat semua pemain kerana beliau masih mencari adunan terbaik sebelum menyenaraikan barisan 18 terbaik menghadapi pusingan kelayakan tersebut.

Menurut pengendali dari Belanda itu lagi, sebahagian daripada pemain-pemain yang tidak terpilih ke Eropah akan diberi peluang membukti kemampuan mereka menentang Jepun, Australia dan New Zealand di Tokyo pada pertengahan bulan depan.