Kemenangan bermakna itu diperoleh menerusi gol tunggal Mohd. Nazrin Nasir selepas menampan masuk hantaran daripada rakan sepasukan untuk menewaskan penjaga gol Perak, Zaidi Ibrahim pada minit ke-57.

Pengurus pasukan Bukit Aman, Mohd. Rizaudden Abdullah tetap berpuas hati dengan prestasi ditampilkan barisan pemainnya meskipun sekadar menang tipis.

“Sebenarnya pemain saya masih cuba menyesuaikan diri dengan keadaan padang selain berdepan kesukaran beraksi di bawah cuaca yang panas terik.

“Kami banyak melepaskan peluang yang terhidang untuk menjaringkan gol melalui beberapa pukulan sudut penalti. Jadi fokus selepas ini lebih kepada menguatkan bahagian serangan dan ketajaman pukulan sudut penalti,” katanya.

Sementara itu, skuad hoki Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) yang merupakan pasukan pilihan mencatat kemenangan 2-0 ke atas Sabah dalam aksi Kumpulan A.

Dua gol Pulapol dijaringkan oleh Azrul Shah Ramli menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-13 dan Mohd. Nasir Zainol Abidin minit ke-19.

Satu lagi aksi Kumpulan A menyaksikan Kuala Lumpur dan Sabah terpaksa berkongsi mata selepas kedua-dua pasukan itu terikat 2-2. - K! ONLINE