Hafizh yang mewakili pasukan Red Bull KTM Tech3 mengakui masih bergelut mendapatkan keserasian ketika menunggang jentera buatan Austria itu sekali gus menyebabkan dia ketinggalan di tempat tercorot dengan masa 43 minit 20.144 saat ketika beraksi di Litar Antarabangsa Losail minggu lalu.

Pada penampilan pertama kelas perdana musim lalu, Hafizh mempamerkan aksi terbaik ketika menunggang jentera Yamaha YZR-M1 apabila berjaya mengutip satu mata selepas menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-14 keseluruhan.

“Sudah pasti saya sangat kecewa kerana masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan pelumba depan. Apa yang saya boleh katakan ialah kami masih gagal mendapatkan keserasian bersama jentera KTM RC16 ketika ini.

“Saya masih cuba faham mengenai jentera KTM dan bukan perkara mudah untuk ubah gaya tunggangan agar serasi dengan jentera malah ia memerlukan masa. Saya tidak bimbang dengan prestasi kerana saya masih kekalkan momentum dengan melakukan latihan,” katanya semalam.

Terdahulu, Hafizh menjalani sesi latihan kecergasan di Institut Sukan Negara (ISN), Kuala Lumpur.

Pengurus pasukan Tech3, Herve Poncharal sebelum ini tidak dapat menyembunyikan kehampaan apabila anak buahnya, Hafizh tidak memperoleh keputusan yang positif.

“Sudah pasti semua bos tidak gembira dengan apa yang saya capai. Saya akan cuba cara komunikasi dengan pasukan dengan lebih baik kerana Tech3 juga masih baru menjalani kerjasama dengan KTM.

“Walupun mereka mempunyai pengalaman yang cukup lama dengan Yamaha lebih 20 tahun, tidak semestinya mudah untuk tawan KTM. Jadi ia perlukan masa untuk mendapatkan keserasian yang baik,” ujar Hafizh.