Pengendali dari Australia itu berkata, meskipun semua pemain The Bos Gaurus berusaha sedaya upaya untuk memenangi pertemuan itu, namun mereka masih belum mampu mengatasi kehebatan juara bertahan enam kali tersebut yang memiliki ramai pemain berkualiti selain mempunyai pengurusan yang terbaik dalam Malaysia.

“Para pemain saya telah beraksi de­ngan baik terutamanya pada separuh masa pertama dan kami juga berjaya mengawal bola di atas padang.

“Bagaimanapun, sedikit kesilapan yang dilakukan apabila bermain dengan kelab yang serba baik ini pasti membawa padah dan kami telah dihukum pada malam ini (kelmarin),” katanya pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan.

Dalam perlawanan tersebut, Leandro Sebastian Velasquez menjaringkan dua gol buat JDT pada minit ke-37 dan minit ke-48 manakala satu lagi jaringan Harimau Selatan itu dihasilkan menerusi Muhammad Akhyar Abdul Rashid pada minit akhir perlawanan.

Tambah Durakovic, Perak juga mempunyai beberapa peluang yang baik untuk mendapat jaringan, namun serangan yang disusun banyak dipatahkan barisan pertahanan JDT selain dinafikan penjaga gol kebangsaan, Mohd. Farizal Marlias.

“Saya puji aksi cemerlang Farizal malam ini (kelmarin) selain pemain pertahanan mereka yang boleh dikatakan terbaik dalam Malaysia.

“Falsafah saya ialah mahu Perak menang setiap perlawanan, tetapi apabila bertemu dengan pasukan yang hebat se­perti JDT ini, kami hanya mampu mencuba dengan sehabis baik,” katanya.