Figueroa yang juga bekas penyerang JDT berkata, para pemainnya telah memberi aksi terbaik dalam pertemuan itu dan turut memperoleh banyak peluang untuk menjaringkan gol, namun semua percubaan tersebut berjaya dinafikan PKNP FC.

“Kami berjaya mendapatkan banyak peluang untuk menja­ringkan gol, lebih-lebih lagi kami telah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi pihak lawan.

“Boleh dikatakan kami tidak bernasib baik pada malam ini (kelmarin). Banyak peluang tidak berjaya disudahkan dengan jaringan selain kegagalan me­nyempurnakan sepakan penalti,” katanya pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan kelmarin.

Tambah Figueroa, JDT sepatutnya mampu menang dengan banyak jaringan jika empat peluang terbaik mereka di hadapan gawang PKNP FC dapat disempurnakan penyerangnya.

“Saya tidak tahu apa yang berlaku. Kami telah bersedia untuk mencipta kemenangan pada malam ini (kelmarin) dan pemain juga beraksi dengan baik, namun tuah tidak memihak kepada kami.

“Kadang-kadang dalam bola sepak, tuah tidak selalunya menyebelahi kita walaupun telah beraksi dengan baik di atas padang,” katanya.

Nasib malang turut menimpa Harimau Selatan pabila pemain tengahnya, Mohd. Afiq Fazail diarahkan keluar padang selepas mengasari pemain import PKNP FC, Pedro Victor Calil Sandoval pada minit ke-76.

Bagaimanapun kelebihan tersebut gagal dimanfaatkan PKNP FC sebaik mungkin sehingga menyaksikan keputusan berakhir dengan seri 1-1.

Pada perlawanan itu, juara bertahan Liga Super tersebut terlebih dahulu di depan seawal minit ke-4 menerusi jaringan Diogo Luis Santo sebelum Ramon Da Silva Costa menyempurnakan jaringan penyamaan buat PKNP FC pada minit ke-14.

penyerang JDT, Diogo (dua dari kiri) melakukan tandukan sambil dihalang pemain pertahanan PKNP FC ketika pertemuan malam kelmarin.