Skuad negara berada dalam prestasi terbaik selepas berjaya meraih kemenangan 3-2 ke atas musuh tradisi, Indonesia pada kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/­Piala Asia 2023 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, Khamis lalu.

Kini, mereka bakal berdepan tugas getir apabila dijadual bertemu dengan UAE yang juga pa­sukan ranking No. 65 dunia dalam aksi kedua Kumpulan G di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa ini.

Menurut Cheng Hoe, kredibiliti yang dimiliki oleh Van Marwijk tidak perlu dipersoalkan lagi khususnya dalam arena bola sepak antarabangsa dan pe­ngendali dari Belanda itu juga wajar dihormati berdasarkan pencapaian yang telah dikecapinya.

Bagaimanapun, Cheng Hoe turut mengakui reputasi yang dimiliki oleh jurulatih UAE itu tidak seharusnya membuatkan pemain-pemain Harimau Malaya terlalu merendah diri apabila turun berdepan lawan mereka itu.

“Kita tahu pengalaman yang dimiliki oleh Van Marwijk sa­ngat hebat terutama ketika membimbing pasukan Belanda mara ke final Piala Dunia edisi 2010 sebelum tewas kepada Sepanyol.

“Malah, dia juga memiliki rekod yang baik ketika bersama Arab Saudi serta Australia dan tidak keterlaluan untuk katakan bahawa dia adalah antara jurulatih terbaik yang dapat memberi motivasi tambahan buat barisan pemain UAE.

“Apa yang penting, saya mengingatkan pemain kita supaya tidak terlalu menghiraukan status serta jurulatih pasukan lawan dan fokus sepenuhnya kepada strategi yang dirancang pada perlawanan itu nanti,” kata Cheng Hoe ketika ditemui pada sesi latihan di Bukit Jalil semalam.

Sementara itu, pengendali dari Kedah tersebut turut mengingat­kan barisan pemainnya agar tidak terlalu memikirkan detik hitam yang dialami skuad Harimau Malaya ketika tewas 0-10 dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2018 di Stadium Mohamed Zayed, Abu Dhabi pada September 2015.

“Kita akui ia adalah keputusan yang mengecewakan, tetapi kita perlu terus pandang ke depan. Malah, hampir semua pemain serta kejurulatihan pada waktu itu dan ketika ini sudah berubah seratus peratus.

“Justeru, ia bakal menjadi satu pertembungan yang berbeza. Dalam masa yang sama, kita perlu berwaspada kerana UAE turut berada dalam momentum yang baik selepas menang besar ke atas Republik Dominican 4-0 dan Sri Lanka (5-1) pada aksi persahabatan baru-baru ini,” katanya.