Jurulatih berusia 36 tahun dari Australia itu, yang tiba di sini beberapa hari lalu, mahu menggunakan keupayaannya untuk membangun dan membentuk teknik dan strategi penerjun negara supaya lebih cekap dan mengelak daripada kecederaan.

"Saya melihat penerjun negara ini sangat fokus dan mempunyai keazaman tinggi dan ia memudahkan tugas saya. Perkara pertama saya adalah untuk mendapatkan kepercayaan dan menjalin hubungan dengan mereka,"katanya.

Menurutnya, beliau hanya mempunyai tempoh masa tiga bulan untuk membantu mempersiapkan skuad negara menghadapi Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia, April ini.

"Kaedah bimbingan saya meliputi tumpuan kepada semua perkara termasuk  penggunaan sains sukan dan psikologi kerana ia dapat membantu atlet meningkatkan keupayaan mereka. Saya akan bekerja rapat dengan pakar psikologi untuk membantu meningkatkan harga diri atlet,"katanya pada sidang media anjuran Program Podium di Institut Sukan Negara (ISN) di sini hari ini.

Brooker akan membantu jurulatih kelahiran China, Zhang Yukun, yang kini dilantik sebagai pemangku ketua jurulatih bagi menggantikan Yang Zhuliang, jurulatih  dari China yang kontraknya di bawah Program Podium tidak disambung oleh ISN tahun lepas.

Brooker, yang memiliki kelulusan Sarjana dalam Kejurulatihan Sukan (Sains Gunaan) dari Universiti Queensland, Brisbane, Australia, mempunyai lebih 10 tahun pengalaman dalam bidang kejurulatihan di peringkat junior di United Kingdom dan Australia.

"Saya fikir masa yang agak suntuk untuk menetapkan sasaran buat masa ini tetapi saya akan memberi tumpuan kepada skuad negara memberi persembahan yang mantap pada Sukan Komanwel nanti. Kami akan meneruskan program latihan yang sedia ada dengan sedikit penambahbaikan,"katanya.

Sementara itu, Pengarah Program Podium, Tim Newenham berkata kontrak Brooker masih belum dimuktamadkan kerana masih menunggu permit kerja sebelum memulakan tugas secara rasmi.

Menurutnya, jurulatih dari Australia itu kemungkinakan akan menandatangani kontrak selama dua tahun iaitu prosedur standard bagi pelantikan jurulatih di bawah program berprestasi tinggi.

Beliau berkata pihaknya juga mencari ketua jurulatih skuad terjun negara dan akan memulakan perbincangan sekiranya ada calon yang sesuai. - Bernama