Program anjuran Persatuan Hoki PDRM itu sudah pun dijalankan buat kali pertama pada 14 Julai lalu di Stadium Hoki Kompleks Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis.

Peserta yang rata-ratanya daripada kalangan pelajar cukup bertuah kerana menerima tunjuk ajar daripada bintang-bintang hoki negara antaranya pakar pukulan sudut penalti, Muhammad Razie Abd. Rahim, Nabil Fiqri Mohd. Noor serta Farah Ayuni Yahya yang pernah dinobatkan selaku penjaga gol terbaik Asia.

Ketiga-tiga mereka adalah anggota polis berpangkat inspektor.

Timbalan Presiden Persatuan Hoki PDRM, Superintendan Cyril Edward berkata, program yang akan memasuki edisi kedua itu lebih memberikan fokus kepada pembangunan jati diri pelajar melalui nilai kesukanan.

“Objektif utama program pembangunan sukan hoki ini bagi menerapkan polisi kemasyarakatan antara polis dengan masyarakat melalui elemen sukan.

“Namun, bagi sukan hoki pula, fokus kita kepada pelajar di peringkat menengah agar mereka dapat menjauhi sebarang aktiviti tidak sihat ketika berada di luar waktu persekolahan.

“Pelajar akan menjalani ujian intensif dengan bimbingan daripada bekas pemain dan tonggak-tonggak pasukan kebangsaan yang kini berkhidmat dalam PDRM,” katanya.

Cyril juga berkata, di samping mengekang pelajar daripada aktiviti jenayah, program yang mendapat sokongan minuman kesihatan, Milo itu juga memfokuskan pencarian bakat baharu dalam sukan hoki. - K! ONLINE