Ini bermakna khabar angin yang mengatakan pasukan itu tidak akan menyambung kontrak Hafizh pada tahun 2020 akhirnya menjadi kenyataan apabila pasukan itu telah mengumumkan kontrak baharu dengan pelumba pasukan KTM Ajo tersebut dalam laman web rasmi pasukan, motogp.teamtech3.fr malam kelmarin.

Spekulasi mengenai masa depan Hafizh mula timbul apabila dia masih tidak ditawarkan kontrak baharu berbanding rakan sepasukannya dari Portugal, Miguel Oliveira yang disahkan bakal menyertai kelas MotoGP bersama pasukan Tech3 itu bagi musim 2020.

Ia susulan prestasi Hafizh yang dilihat tidak konsisten pada musim ini selepas pasukannya beralih kepada jentera KTM, berbanding penampilan cemerlangnya pada musim lepas ketika pasukan itu masih menggunakan jentera Yamaha.

Selepas sembilan pusingan musim ini, pelumba berusia 25 tahun itu hanya mengutip tiga mata setelah menamatkan saing­an pada kedudukan ke-14 di GP Pe­rancis, Mei lalu dan ke-15 pada GP Belanda di Litar Assen Jun lepas.

Pertukaran jentera kepada KTM turut memainkan peranan kepada prestasi Hafizh musim ini yang mana menyaksikan dia dan pasukannya masih bergelut dalam proses ‘mengenali’ jentera KTM RC16 selepas 20 tahun bersama Yamaha.

Sementara itu, Binder mengesahkan dia akan melangkah ke MotoGP pada musim 2020 selepas menandatangani perjanjian setahun dengan KTM untuk menyertai pasukan satelit Tech3 bersama-sama Miguel Oliveira.

“Saya sangat gembira untuk mengumumkan bahawa saya akan melangkah ke kelas MotoGP untuk musim 2020 bersama pasukan Red Bull KTM Tech3. Terima kasih Red Bull KTM kerana mempercayai saya.

“Saya harap kita mampu mencipta kejayaan bukan hanya untuk tahun hadapan tetapi untuk tahun-tahun selama kita bersama. Ia adalah mimpi yang menjadi kenyataan dan saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada mereka yang membantu karier saya sehingga ke tahap ini,” katanya. – Bernama