Biasiswa berjumlah RM100,000 bagi tempoh setahun adalah untuk menampung tiga pemain bagi menaja sara hidup pelajar di Jepun seperti mana yang dimaklumkan oleh pihak Yakult (Malaysia) Sdn. Bhd.

Syed Saddiq memberitahu, biasiswa berkenaan adalah hasil perbincangan Fagiano bersama Sekolah Tinggi Gakugeikan yang turut berkaloberasi dengan kelab berpangkalan di Okayama tersebut.

Tambah beliau, berita berkenaan telah dimaklumkan kepadanya dalam lawatan kerja di Padang Latihan Masada, Okayama semalam yang juga merupakan venue latihan penyerang Fagiano, Hadi Fayyadh Abdul Razak.

“Selepas berbincang dengan pihak pengurusan sekolah swasta yang berkoleberasi dengan Fagiono Okayama, mereka bersetuju untuk memberikan biasiswa istimewa kepada pemain Malaysia yang berbakat bawah 17 tahun untuk ditempatkan serta bersekolah di Jepun.

“Mereka akan menampung supaya dapat belajar dan bermain di Jepun dan ia adalah untuk merapatkan lagi hubungan Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),” jelasnya ketika ditemui semalam.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada memberitahu, pihaknya bersedia menampung kos penginapan dan makan untuk melancarkan segala perancangan bagi membangunkan bakat muda negara.

“Pihak Yakult akan membantu pemain yang layak dengan memberikan mereka Biasiswa Yakult bagi menampung kos pembelajarannya di sana.

“Pihak sekolah tersebut telah bersetuju untuk memberikan yuran pembelajaran secara percuma, cuma perlu membayar wang yuran penginapan dan makan sebanyak RM2,000 sebulan. Kos ini akan di tanggung oleh pihak kami,” jelasnya. - K! ONLINE