Perlumbaan yang bermula dan berakhir di Pantai Cenang, Langkawi sejauh 106.8 kilometer (km) itu menyaksikan pelumba ber­usia 22 tahun tersebut muncul sebagai juara dalam kelompok besar menerusi catatan masa 2 jam 17 minit 59 saat (s).

Ia adalah podium pertama yang dirangkul oleh Bevilacqua sejak menjadi pelumba profesional lebuh raya pada tahun 2016.

“Saya sangat gembira kerana meraih kemenangan tanpa di­sangka-sangka. Boleh dikatakan ini merupakan kemenangan nasib kerana kami langsung tidak menjangka boleh menang ter­utamanya berada di kedudukan podium.

“Kira-kira 1km sebelum me­nuju ke garisan penamat, saya hanya mengikuti satu kelompok pelumba daripada pasukan Bardiani CSF. Mereka membuka laluan kepada saya kerana basikal pakar pecutnya, Andrea Guardini mengalami masalah teknikal.

“Kesempatan itu digunakan sebaik mungkin untuk melakukan pecutan hingga ke garisan penamat. Ini adalah kejayaan terbesar saya walaupun saya meninggalkan rumah di Itali dengan sedikit kecederaan pada kaki,” ujarnya.

Perlumbaan terakhir hari ini akan berlangsung di Dataran Lang hingga Kuah, Langkawi sejauh 103.8km.

Dijangkakan perlumbaan itu akan menjadi sasaran terakhir Guardini untuk merangkul kejuaraan pertamanya pada LTdL 2019 sekali gus memperbaharui rekod dengan 25 kejuaraan pe­ringkat sejak 2011.

Dalam pada itu, tiada perubahan yang berlaku pada perlumbaan semalam yang memperlihatkan Benjamin Dyball daripada Team Sapura Cycling masih kekal selaku pendahulu keseluruhan (jersi kuning) diikuti pelumba Floyd’s Pro Cycling, Travis McCabe (jersi hijau) serta Angus Lyons daripada Oliver’s Real Food Racing (jersi merah).