Bagaimanapun, tugas Malaysian Tigress yang merupakan pasukan No. 22 dunia itu nanti bukan mudah kerana bakal berdepan lawan sebenar iaitu gergasi Asia yang berada di ranking ke-11 dunia, Korea Selatan di pentas separuh akhir malam ini.

Berdasarkan statistik antara ke­dua-dua pasukan, skuad negara belum pernah menewaskan Korea Selatan dalam tiga pertemuan apabila tewas 1-3 pada Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2018, 2-5 (ACT 2016) dan 0-5 (pusingan kelayakan Olimpik 2008).

Namun, jika dilihat kepada prestasi semasa, skuad negara masih tetap mempunyai peluang untuk mengejutkan Korea Selatan dengan melangkah ke final, sekali gus menyambar tiket ke pusingan kelayakan akhir ke Sukan Olimpik 2020 pada Oktober depan.

Ketua jurulatih, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah mengakui tahap keyakinan anak-anak buahnya sangat tinggi ketika ini dan beliau percaya seluruh pemain Malaysian Tigress akan berjuang bermati-matian untuk memenangi slot terakhir ke kempen kelayakan Olimpik ber­kenaan malam ini.

“Saya gembira kami dapat mencapai matlamat ke separuh akhir. Saya harap momentum ini dapat diteruskan oleh para pemain apabila turun menentang Korea Selatan nanti.

“Semua tahu Korea Selatan bukan pasukan yang biasa-biasa kerana mereka sentiasa membuat penampilan di Piala Dunia dan juga Sukan Olimpik selain jurang ranking kami dengan mereka cukup berbeza di mana mereka di ranking ke-11 dan kami ke-22.

“Mereka adalah pasukan pilihan berdasarkan pertemuan lalu. Jadi, kami tidak boleh mempamerkan corak permainan terbuka seperti ketika bertemu Perancis dan Republik Czech, sebaliknya perlu memberi fokus kepada pertahanan dan melakukan serangan balas.

“Meskipun rekod pertemuan tidak memihak kepada kami, namun apa yang pasti semua pemain pasukan ini tidak rela berputih mata setakat di separuh akhir sahaja. Mereka sudah tentu mahu mara ke final dan memenangi slot ke kelayakan akhir Sukan Olimpik 2020 demi maruah negara. Itu adalah sasaran utama kami,” jelas Dhaarma.

Tiga gol Malaysian Tigress ketika menewaskan Perancis diperoleh menerusi dua pukulan sudut penalti daripada Nuraini Abdul Rashid dan Fatin Shafika Mahd. Sukri pada minit kelima serta kelapan selain satu gol padang Hanis Nadiah Onn (m-15).