Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Ng Chin Chai berharap semua pihak terus memberikan sokongan kepada Chong Wei yang telah banyak berjasa kepada negara sepanjang penglibatan pemain itu selama 17 tahun dalam arena badminton. 

Beliau berkata Chong Wei, yang menghadapi masalah 'Respiratory Disorder' (masalah pernafasan), perlu menjalani pemeriksaan selama sebulan dan pihak BAM perlu menghormati permintaan pemain itu supaya tidak memaklumkan secara terperinci mengenai keadaannya ketika ini kepada umum.

"Saya dan Datuk Mohamad Norza Zakaria (Presiden BAM) telah bertemu dengan Chong Wei, pada ketika ini dia tengah sugul dan privasinya perlu dihormati. Bagi dirinya, apa yang penting adalah untuk cepat sembuh," katanya kepada pemberita di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara di sini hari ini.

Beliau berkata BAM amat terkejut dan berasa serba salah dengan apa yang berlaku kepada bekas pemain nombor satu dunia itu.

"Sepanjang tempoh pemulihan, kami minta orang ramai dan pihak media memberi ruang kepada Chong Wei dan keluarganya. Kami mendoakan agar dia cepat sembuh dan kembali menjalani latihan," katanya.

Chong Wei tidak menjalani latihan di ABM selama seminggu selepas pulang daripada Kejohanan Terbuka Indonesia, awal bulan ini kerana masalah kesihatan dan semalam BAM  mengesahkan pemain itu tidak akan menyertai Kejohanan Dunia di Nanjing, China bermula Isnin ini dan Sukan Asia 2018 di Jakarta mulai 18 Ogos hingga 2 September ini.

Ng berkata pihak BAM tidak dimaklumkan mengenai punca Chong Wei menghadapi masalah pernafasan dan menyifatkan pemain itu adalah atlet paling cergas berbanding pemain lain dalam skuad negara.

Dalam pada itu, Ng berkata BAM memandang serius masalah yang dihadapi Chong Wei dan memastikan pemeriksaan kesihatan akan dilakukan lebih kerap selepas ini kepada semua pemain di bawah naungan badan induk sukan itu. - Bernama