Pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang menjadi sandaran utama skuad badminton negara tewas mengejut 17-21, 21-19, 28-26 kepada pasa­ngan Hong Kong, Reginald Lee-Chau Hoi Wah dalam aksi yang mengambil masa hampir satu jam.

Satu lagi wakil beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai turut tewas kepada pilihan keempat kejohanan yang juga dari Hong Kong, Tan Chung Man-Tse Ying Suet 21-14, 11-21, 20-22.

Liu Ying berkata, kesilapan yang mudah dilakukan dalam gelanggang khususnya pada set pertama dan rubber set menjadi punca utama dia dan Peng Soon berputih mata.

“Banyak kesilapan dilakukan pada perlawanan ini sehingga menyaksikan kami kehilangan mata penting. Selain itu, kami juga tidak begitu bernasib baik selepas bulu tangkis banyak sangkut di jaring” katanya.

Sementara itu, Peng Soon turut mengakui beregu lawan beraksi dengan lebih baik dan berhak untuk memenangi perlawanan tersebut.

Dalam perkembangan sama, nasib berbeza dialami oleh pemain perseorangan lelaki negara yang menyaksikan Lee Zii Jia mara ke pentas suku akhir selepas menewaskan wakil Pakistan, Azeem Sarwar 21-13, 21-10.

Perseorangan lelaki utama negara pada temasya kali ini, Liew Daren tewas 8-21, 22-20 14-21 di tangan pemain Korea Selatan, Heo Kwang Hee.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebelum ini menjangkakan beregu lelaki dan beregu campuran negara untuk menyumbang pingat tanpa mengira warna pada temasya yang memasuki edisi ke-18 itu.

Pada temasya edisi 2014 di Incheon, skuad badminton negara berjaya membawa pulang empat pingat gangsa menerusi acara perseorangan lelaki, beregu lelaki, beregu wa­nita dan berpasukan lelaki.