Pasangan negara yang diletakkan selaku pilihan keempat kejohanan itu berjaya menepati ramalan mara ke final dengan kejayaan 18-21, 21-11, 21-12 ke atas beregu Denmark tersebut dalam tempoh 56 minit.

Bagaimanapun, beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying pula mensia-siakan peluang mengikuti jejak langkah pasangan lelaki berkenaan selepas tewas mengejut kepada pasangan Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet 21-10, 21-17.

Pada perlawanan separuh akhir yang berlangsung di Taipei Arena itu, Peng Soon-Liu Ying yang diletakkan sebagai pilihan pertama kejohanan, memulakan aksi dengan longlai selain sering melakukan kesilapan mudah yang membuka ruang kepada lawan mereka mendapatkan mata mudah.

“Hari ini kami terperangkap dengan permainan pasukan lawan sehingga menyebabkan kami tewas mudah pada set pertama. Pada set kedua, kami cuba untuk bangkit, namun selepas ketinggalan 11 mata, rentak permainan yang dicari baru muncul.

“Namun semuanya sudah terlambat apabila pihak lawan sudah selesa di hadapan, selain mereka turut berada dalam keadaan moral yang tinggi bagi menamatkan perlawanan straight set.

“Saya yakin kami boleh bermain dengan baik, tetapi ia tidak dapat dilaksanakan kerana kami melakukan terlalu banyak kesilapan. Saya secara peribadi sangat kecewa dengan prestasi sendiri hari ini (semalam),” katanya kepada Kosmo! semalam.