Misi sama turut digalas barisan penyerang negara yang tekad membawa bekalan selesa apabila bertandang ke gelanggang lawan pada aksi separuh akhir kedua di Bangkok pada 5 Disember nanti.

Pemain pertahanan negara, Mohd. Aidil Zafuan Abdul Radzak berkata, Thailand antara pasukan terbaik dalam kejohanan kali ini, namun dia percayai pemain negara tidak gentar berdepan pasukan tersebut.

“Pada pusingan seterusnya akan mengambil kira gol di tempat lawan. Pada edisi 2012, kita seri 1-1 dengan Thailand di ­gelanggang sendiri dan kemudian (tewas) bermain di tempat lawan dengan sokongan penyokong mereka.

“Saya rasa dari situ kita boleh ambil pengajaran untuk mencari kemenangan dan memastikan tidak dibolosi di laman sendiri Sabtu ini,” katanya ketika ditemui pemberita semasa sesi latihan skuad kebangsaan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan kelmarin.

Dalam pada itu, pemain te­ngah, Syamer Kutty Abba berkata, tiada istilah badi buat skuad negara pada pertemuan dengan Thailand nanti.

Katanya, skuad negara perlu memanfaatkan sebaik mungkin peluang bermain di gelanggang sendiri sebelum berdepan cabaran lebih getir di Bangkok pada separuh akhir kedua.

“Dalam kepala saya tiada isu badi kerana kita telah bekerja keras dari mula saingan Piala AFF lagi. Kita ada kekuatan sendiri dan perlu mengorak langkah untuk mara lebih jauh,” katanya.