Zulfahmi yang meninggalkan saingan MotoGP dua tahun lalu kini diberi tanggungjawab menggantikan tempat Hafiz Syahrin Abdullah yang akan bersaing dalam kategori MotoGP.

Justeru, Bencivenni yang mengenali Zulfahmi sejak 2010 mengakui pelumba berusia 27 itu mempunyai bakat tersendiri dan tidak berdepan masalah menyesuaikan diri dengan cepat pada jentera Moto2.

“Saya gembira bersama pasukan ini dan kami semua sangat rapat. Matlamat utama saya bersama SIC adalah ingin me­raih keputusan terbaik pada tahun pertama ini.

“Saya yakin dengan kemampuan Zulfahmi meskipun kami tidak bermula dengan baik pada sesi ujian rasmi di Valencia dua minggu lalu, kami akan cuba mencari pelarasan terbaik.

“Kami akan memanfaatkan sesi ujian tertutup selama tiga hari bermula esok (hari ini) di Sepang untuk mengumpul data secukupnya pada jentera yang akan digunakan Zulfahmi,” katanya.

Bekas jurutera pasukan Honda itu mempunyai aura tersendiri apabila berjaya meletakkan beberapa pelumba ke saingan MotoGP seperti Takaaki Nakagami dan Jonas Folger.

Dalam pada itu, Zulfahmi mengakui dia tidak mahu melepaskan peluang keemasan selepas ditawarkan kembali menyertai pasukan SIC dalam sai­ngan kelas Moto2.

“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada SIC kerana memberi kepercayaan kepada saya sekali lagi untuk terus beraksi di pentas dunia dan kali ini pada saingan kelas Moto2.

“Persediaan pasukan sangat rapi dan teliti kerana kami mempunyai jurutera terbaik. Selain itu, jentera yang disediakan SIC musim ini mampu bersaing serta mampu mengutip keputusan positif.

“Kehadiran Fausto penting bagi kami dan saya percaya jika tiada masalah, kami akan dapat pelarasan yang sempurna di Sepang. Apa pun, ini tahun pertama saya dan tidak mahu meletakkan sebarang tekanan,” katanya.