Kekuatan Malaysian Tigers ternyata masih belum cukup ampuh untuk meraih tiket pada kelayakan itu jika diukur prestasi pada Final Siri Hoki Dunia baru-baru ini.

Apa tidaknya, barisan pemain negara dilihat bergelut untuk menewaskan pasukan ranking lebih rendah pada kejohanan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, itu termasuk kekalahan memalukan 2-4 kepada negara ranking terendah kejohanan, Itali.

Walaupun skuad negara adalah pasukan paling banyak meledakkan jaringan dengan 19 gol tetapi penyudah jentera serangan masih belum cukup tajam, apabila mensia-siakan deretan peluang hingga menyaksikan Malaysian Tigers terpaksa akur sekadar muncul naib juara di halaman sendiri.

Ratio penyudah pukulan sudut penalti juga sesuatu yang patut dibimbangkan barisan kejurulatihan, selain kealpaan fokus benteng pertahanan dan kelemahan refleks penjaga gol adalah antara aspek perlu dipertingkatkan dalam baki enam bulan ini.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal memberi isyarat jelas kepada barisan pemain jika mahu memegang status selaku Olimpian negara.

“Kesilapan-kesilapan mudah tidak boleh dilakukan jika kamu mahu bermain di pentas Sukan Olim­pik kerana perlu sentiasa berada dalam keadaan bersedia.

“Pasukan yang layak ke aksi kelayakan akhir nanti pastinya lebih kuat. Mereka juga akan bermain habis-habisan kerana siapa yang tidak mahu bermain di Olimpik.

“Jadi, saya harap para pemain dapat menjadikan kejohanan ini sebagai iktibar dan memperbaiki ­segala kelemahan. Ada banyak masa lagi dengan siri jelajah Eropah, Jepun dan Korea Selatan akan diberi kepada mereka sebelum kelayakan November nanti,” katanya.

MHC turut merasakan kehadiran bekas penyerang terbaik Australia, Jamie Dwyer mampu membantu persediaan skuad negara dan boleh menyelesaikan masalah penyudah di bahagian serangan.

Selain Dwyer, barisan pemain sebenarnya sudah mendapat ilmu daripada pakar flick No. 1 dunia dari Belanda, Taeke Taekema dan rakan senegaranya, pakar penjaga gol, Martin Drijver dalam dua sesi latihan berasingan di Kuantan, Pahang dan Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Jurulatih penjaga gol negara, Mohd. Nasihin Nubli Ibrahim percaya kelemahan pada benteng pertahanan terakhir skuad negara akan diperbaiki kerana dua penjaga gawangnya, Muhammad Hairi Abd. Rahman dan Mohamad Hafizudin Othman sudah mendapat pengalaman berharga pada kejohanan itu.

“Jangan cepat mengaku kalah selepas melakukan kesilapan kerana ia boleh diperbaiki. Ini adalah sukan berpasukan, menang dan kalah kita harungi bersama-sama.

“Saya tahu Hairi agak kecewa dengan prestasinya tetapi ini adalah pengalaman paling berharga buat dirinya. Sekarang masa untuk bangkit membuktikan aksi terbaik kerana ini adalah pengalaman yang amat berharga.

“Tiada penjaga gol yang menjadi bagus dalam tempoh setahun atau dua tahun. Tekanan seperti ini akan membuatkan mereka belajar dengan cepat,” jelasnya.

Pada masa sama, Subahan mengesahkan perancangan mereka buat skuad negara bermula siri jelajah Eropah (Julai) sebelum ke Tokyo pada Ogos menguji venue yang akan digunakan pada Sukan Olimpik dan kemudian berlepas ke Incheon untuk aksi persahabatan dengan Korea Selatan sebulan kemudian.