Kekalahan Malaysian Tigers, No. 12 dunia, sebenarnya sudah dijangka rata-rata peminat hoki tanah air berdasarkan status Belanda sebagai juara tiga kali Piala Dunia dan merupakan naib juara edisi terakhir di The Hague empat tahun lalu.

Pasukan tempat keempat pada Sukan Olimpik 2016 itu juga ‘bernafsu’ menambah lebih banyak jaringan dengan permainan menyerang pantas dan cuma beberapa kali sahaja skuad negara berjaya melakukan serangan ke atas gawang mereka.

“Kami bermula baik tetapi persembahan yang dipamerkan dalam suku masa kedua sangat teruk. Kami cuba bangkit untuk mengasak barisan pertahanan mereka, namun ia tetap tidak menjadi,” kata ketua jurulatih skuad negara, Roelant Oltmans.

Penyerang The Oranje, Jeroen Hertzberger yang pernah beraksi dengan Universiti Kuala Lumpur pada saingan Liga Hoki Malaysia 2018, muncul wira apabila meledak hatrik bermula minit ke-11, 29 dan 60.

Empat lagi gol skuad bimbingan Max Caldas itu diperoleh menerusi jaringan Mirco Pruijser (m-21), Robbert Kemperman (m-35), Mink van der Weerden (m-42) dan Thierry Brinkman (m-57.

Malaysian Tigers akan meneruskan aksi kedua Kumpulan B dengan misi wajib menang ke atas musuh tradisi dari benua Asia iaitu pasukan No. 13 dunia, Pakistan Rabu ini.

Skuad negara yang menyasarkan kelompok 10 terbaik pada edisi Piala Dunia 2018 akan menamatkan saingan Kumpulan D menentang satu lagi gergasi Eropah, Jerman yang merupakan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2016 pada 9 Disember ini.