Tujuan membawa bekas penyerang Australia berusia 40 tahun itu adalah untuk membantu mempersiapkan skuad negara dalam misi memburu slot Sukan Olimpik Tokyo 2020 menjelang pusingan kelayakan terakhir, November ini.

Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, pihaknya sedang menunggu kebenaran Majlis Sukan Negara (MSN) untuk membawa pemenang Anugerah Pemain Terbaik Dunia sebanyak lima kali itu atas permintaan jurulatih negara, Roelant Oltmans.

Dwyer pernah mewakili Australia selama 15 tahun bermula pada 2001 dan membuat penampilan sebanyak 326 kali dan menjaringkan 215 gol.

Beliau telah menyertai Sukan Olimpik sebanyakl tiga kali, Piala Dunia (4 kali), Kejohanan Trofi Juara-Juara (8 kali) dan Sukan Komanwel sebanyak tiga kali.

Subahan berkata, kegagalan melakukan penyudah dan kelemahan penjaga gol dikesan paling ketara skuad negara pada kejohanan Siri Final Lelaki FIH 2019 yang berakhir di sini Sabtu lalu dengan Malaysia merangkul tempat kedua di belakang Kanada.

Malaysia dan Kanada mengesahkan slot ke pusingan kelayakan terakhir Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Subahan berkata, skuad negara juga mengharapkan penjaga gol berpengalaman, S. Kumar akan kembali semula untuk memulakan persiapan bersama skuad negara susulan kecederaan otot pada paha kanan yang dialaminya pada Liga Hoki Malaysia, Mac lalu.

Kecederaan tersebut mengakibatkan penjaga gol berusia 39 tahun itu terpaksa melupakan kejohanan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Mac lalu dan Siri Final Lelaki FIH di sini.

"Khidmat Kumar memang sangat diperlukan, pagi tadi ada mesyuarat jawatankuasa kerja dengan MSN dan Institut Sukan Negara (ISN), di mana saya meminta ISN memberi perhatian atau bantuan terperinci ke atas Kumar untuk memastikan beliau kembali menyertai pasukan secepat mungkin," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Subahan berkata, beliau dimaklumkan Kumar mampu memulakan latihan bersama skuad bulan depan dan kehadirannya akan membawa perbezaan yang ketara kerana pemain itu kini melalui tahap tertinggi dalam kariernya.

Skuad negara akan memulakan latihan semula minggu depan selepas Oltmans kembali dari percutiannya di Amsterdam, Belanda. - Bernama