Meskipun Presiden Bayern, Uli Hoeness menegaskan, mereka tidak akan membayar lebih daripada €80 juta (RM377.15 juta) kepada City, namun Matthaus percaya kedua-dua pasukan mampu mencapai kata sepakat berhubung nilai perpindahan pemain itu nanti.

Selain itu, Matthaus menganggap Sane amat diperlukan pasukan berkenaan memandangkan dua tonggak utama, Franck Ribery dan Arjen Robben tidak menyambung kontrak bersama pasukan itu.

“Saya tidak fikir urusan perpindahan ini akan gagal hanya disebabkan beberapa juta. Sekiranya pemain (Sane) memberikan isyarat dia mahu menyertai Bayern, saya percaya pasukan akan me-lakukan segala-galanya bagi membawa dia masuk.

“Bayern perlu memperkemaskan jentera serangan sekiranya mahu kembali bersaing di peringkat Eropah. Saya percaya pembelian Sane mampu membantu Bayern untuk kembali menguasai saingan antarabangsa,” kata Matthaus.

Pada masa sama, pemenang Piala Dunia 1990 itu menegaskan, Sane sendiri perlu membuat keputusan sama ada mahu menyertai Bayern atau kekal di Stadium Etihad sebagai pemain simpanan.

“Dia sendiri perlu membuat keputusan berhubung masa depannya sama ada untuk bermain sebagai pemain utama atau memanaskan bangku simpanan di City. Saya harap dia mendengar kata hatinya dan jangan hiraukan kata-kata orang sekeliling,” ujarnya. – Agensi