Sane telah lama menjadi buruan utama kelab juara Bundesliga itu, namun nilai perpindahan sebanyak £89.1 juta (RM470.3 juta) yang diminta oleh kelab Liga Perdana England (EPL), Manchester City sebelum ini dianggap terlalu tinggi.

Bayern pula sudah mengeluarkan dana yang besar pada jendela perpindahan kali ini apabila menandatangani khidmat Lucas Hernandez dengan nilai £71.9 juta (RM376.2 juta) serta Benjamin Pavard sebanyak £31.4 juta (RM167.9 juta).

Susulan itu, skuad kendalian Niko Kovac itu mahu mencari pemain sayap dengan bajet yang lebih rendah dengan Carrasco menepati pilihan tersebut kerana kelab China yang diwakilinya, Dalian Yifang hanya mahukan nilai perpindahan sebanyak £25 juta (RM131.8 juta).

Selain daripada Carrasco, antara pemain yang berada dalam radar Bayern pada musim depan adalah bintang muda Lille, Nicolas Pepe serta penyerang sensasi Red Bull Leipzig, Timo Werner.

Namun, Carrasco yang juga bekas pemain Atletico Madrid menjadi keutamaan kelab The Bavaria itu selepas beraksi cemerlang bersama Yifang dengan meledak tujuh gol dalam saingan Liga Super China musim ini.

Bayern dilihat terdesak untuk menandatangani pemain sayap kerana kontrak dua pemain utama mereka di posisi tersebut, Arjen Robben dan Franck Ribery tidak disambung, sekali gus dibenarkan berhijrah secara percuma. – Agensi