Tampil sebagai pilihan kelima pada edisi kali ini, kemenangan Bautista Agut itu secara tidak langsung berjaya menebus kekecewaannya tahun lalu apabila gagal mempertahankan kejuaraan ekoran masalah kesihatan.

Pemain berusia 29 tahun tersebut mempamerkan aksi mantap setelah memerlukan hanya lebih kurang dua jam untuk menidakkan peluang Del Potro merangkul gelaran juara.

“Ia merupakan satu permainan yang hebat hari ini (semalam). Selama seminggu saya merasakan seperti tidak bermain dengan baik tetapi hari ini (semalam), saya berjaya buktikan sebaliknya.

“Del Potro sangat ‘liat’ untuk ditewaskan dan saya gembira dapat mengharungi dua set terakhir de­ngan sempurna,” katanya.

Dalam pada itu, Del Potro me­ngakui tetap meraih suntikan semangat bagi menghadapi Terbuka Australia minggu hadapan biarpun tidak berjaya merangkul gelaran juara.

“Ini permulaan yang baik. Saya tidak menjangkakan dapat mara ke pentas final pada kejohanan pertama saya tahun ini.

“Saya tidak sabar untuk tampil di kejohanan berprestij Grand Slam pada minggu hadapan,”katanya. – Agensi