Barcelona telah menebus klausa pemain berusia 28 tahun itu pada Jumaat lalu, namun Atletico mendakwa Barcelona masih berhutang baki €80 juta (RM370.48 juta) memandangkan persetujuan yang dibuat dengan Griezmann berlangsung ketika klausa pelepasan pemain berkenaan masih berjumlah €200 juta (RM926.34).

“Saya sudah bercakap dengan Atletico. Namun, saya fikir mereka tidak mempunyai bukti (Barcelona perlu melangsaikan baki €80 juta itu).

“Saya faham setiap orang akan mempertahankan pandangan mereka. Saya telah berjumpa Enrique Cerezo (Presiden Atletico) dan saya tidak nampak kes itu boleh berkembang dengan cara yang positif untuk mereka,” katanya.

Penyerang antarabangsa Pe­rancis itu merupakan pemain yang sentiasa dikaitkan dengan penghij­rahan ke Camp Nou sejak musim lalu.

Griezmann telah dua kali memohon untuk menyertai skuad gergasi Sepanyol itu sebelum membuat pusingan U untuk kekal di Atletico pada musim panas 2018/2019 selain turut menandatangani kontrak baharu.

Bagaimanapun, pada Jumaat lalu, Griezmann telah memungkiri janjinya untuk terus berkhidmat di Stadium Wanda Metropolitano selepas diumumkan sebagai penyerang baharu Barcelona.

Sejak menyertai Atletico pada tahun 2014, bekas pemain Real Sociedad itu telah meledak 133 gol dalam 257 penampilan. Dia turut membantu Atletico merangkul trofi Liga Europa, Piala Super UEFA dan Piala Super Sepanyol. – Agensi