Meskipun sudah mengesahkan tempat ke pu­singan kedua, namun Barcelona amat memerlukan khidmat Suarez pada aksi terakhir peringkat kumpulan menentang Tottenham Hotspur bagi menentukan juara kumpulan.

Difahamkan, pemain antarabangsa Uruguay itu akan diketepikan selama dua minggu selepas menjalani imbasan pada kece­deraan yang dialami ketika bertemu Atletico Madrid dalam aksi La Liga, Ahad lalu.

“Dia (Suarez) akan menjalani proses rehabilitasi kecederaan lutut kanan yang dialami. Kami boleh sahkan dia mungkin akan diketepikan selama dua minggu untuk pulih sepenuhnya,” ujar jurucakap pasukan tersebut.

Bagaimanapun dua lagi pemain, Philippe Coutinho dan Ivan Rakitic yang dilaporkan turut mengalami kecederaan sebelum ini akan bersama-sama pasukan pada aksi menentang PSV.

Selain itu, Barcelona juga terpaksa melupakan khidmat pemain perancang, Arthur Melo, Sergi Roberto serta penjaga gol simpanan, Jasper Cillesen, sekali gus sedikit membimbangkan jurulatih, Ernesto Valverde.

Barcelona sudah mengesahkan tempat ke peringkat kalah mati apabila mengumpul 10 mata selepas melakar tiga kemenangan serta satu keputusan seri. – Agensi