Bulan lalu, Kim Swee bersama Maloney berlepas ke Sepanyol bagi mengikuti kursus kejurulatihan bersama kelab gergasi Sepanyol itu hasil kerjasama FAM dengan La Liga.

Atletico adalah pasukan bukan asing buat Marcote apabila beliau pernah menjadi jurulatih akademi kelab itu bermula 2002 sehingga 2011.

Mengulas mengenai langkah menghantar Kim Swee dan Maloney ke Atletico, Marcote optimis cadangan Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sewajarnya harus dipuji ke­rana baginda memiliki keseda­ran tinggi untuk membangunkan program kejurulatihan.

“Saya berharap mereka dapat melawat akademi Atletico dan memperoleh pelbagai ilmu mengenai teknik latihan atau sebagainya.

“Untuk melihat sesi latihan skuad utama di bawah kendalian Diego Simeone agak sukar kerana untuk berbuat demikian, mereka harus mendapatkan permit.

“Namun perkara paling mustahak adalah mereka dapat melihat etika profesional bermula daripada kanak-kanak sehingga kepada pasukan utama Atletico.

“Ini adalah salah satu langkah bagus untuk meningkatkan proses bola sepak Malaysia kerana ia bukan sahaja melibatkan pemain tetapi peringkat jurulatih juga amat penting. Saya percaya ini akan memberikan banyak input positif kepada bola sepak Malaysia pada masa akan datang,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, semalam.

Dalam perkembangan sama, Marcote turut berharap lebih ramai jurulatih tempatan berani menyahut cabaran untuk mengikuti kursus-kursus di luar negara selaras dengan pembangunan bola sepak zaman moden.

Terdahulu, Kim Swee pernah mengikuti kursus kejurulatihan selama sebulan bersama Queen Park Rangers dan ia memberi impak positif kepada jurulatih itu apabila berjaya membawa skuad negara mara ke suku akhir­ Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 di China, Januari lalu.

“Ilmu pengetahuan bukan terletak pada satu tempat tetapi Atletico adalah tempat yang baik untuk memperoleh ilmu-ilmu yang bagus.

“Di Sepanyol, banyak kelab yang bagus, selain di England, Perancis, Itali, Jerman, Portugal, Belanda dan Belgium.

“Mungkin kerjasama FAM bersama La Liga akan terus memberikan manfaat untuk melebarkan lagi ilmu pengetahuan atau program kepada jurulatih-jurulatih terutama pengendali dari Malaysia,” katanya.