Naib Presidennya, Datuk Badrol Hisham Hashim berkata, kejayaan itu adalah hasil kegigihan pasukan dan sokongan penyokong yang tidak berbelah-bahagi selama ini.

“Hasil kerja keras setiap pemain dalam memastikan prestasi pasukan terus meningkat serta keharmonian dan semangat berpasukan yang ditunjukkan berbalas dengan pengiktirafan tersebut,” katanya ketika dihubungi di Alor Setar semalam.

Kata beliau, komitmen tinggi Presiden KFA, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah dan gabungan jawatankuasa persatuan yang berpengalaman juga menyumbang kepada kejayaan skuad Helang Merah.

“Presiden KFA dan ahli jawatankuasa sentiasa mencari jalan untuk memastikan pasukan bola sepak Kedah terus gemilang dan salah satu usaha yang dilakukan adalah dengan mencari penajaan,” ujarnya.

Menurut Badrol, beliau berharap para peminat dapat terus memberikan sokongan kepada Helang Merah dan segala usaha dilakukan KFA dengan seikhlasnya bagi membolehkan pasukan terus diiktiraf dengan anugerah sama pada musim depan.

“Kita juga bersedia menerima sebarang teguran mahu pun pandangan daripada penyokong demi meningkatkan prestasi pasukan,” katanya.

Berhubung kejayaan Baddrol Bakhtiar memenangi tiga trofi pada majlis anugerah tersebut, kata beliau, kejayaan pemain tengah Kedah itu perlu menjadi contoh kepada pemain lain dan seluruh anak muda dari negeri Jelapang Padi itu.

“Kita tahu Baddrol ialah seorang pemain yang sangat berdisiplin serta begitu komited dalam pasukan Kedah dan beliau menjadi satu legasi yang perlu kita banggakan,” katanya.

Sementara itu, mengulas laporan sebuah akhbar mengenai Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang terkilan apabila anugerah tersebut menafikan sebarang pengiktirafan kepada pasukan tempatan paling berjaya, kata beliau, pemenang ABK2017 diberikan berdasarkan pengadilan juri dilantik.

“Jika tanya pandangan saya, anugerah yang diberikan kepada Kedah sememangnya tepat,” tambahnya.

Pada ABK2017 itu, Kedah yang muncul juara Piala FA dan Piala Sumbangsih musim ini memenangi Anugerah Pasukan Bola Sepak Terbaik, Kelab Penyokong Terbaik, Media Sosial Terbaik, Penjaga Gol Terbaik (Ifwat Akmal Chek Kassim), Pemain Import Terbaik dan Pemain Paling Popular (Liridon Krasniqi).

Tiga lagi anugerah dirangkul Baddrol iaitu Pemain Paling Bernilai, Pemain Tengah Terbaik dan Penjaring Terbanyak (Tempatan) Liga Super.