Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, persatuan itu ingin tahu sebab Chandra disingkirkan daripada sesi pendengaran berkenaan.

Pada 27 Feb lepas, BWF melucutkan status Chandra selaku pemerhati bagi pihak BAM pada hari kedua yang juga hari terakhir prosiding pendengaran dua pemain profesional negara yang didakwa mengatur perlawanan.

Dilaporkan langkah BWF itu susulan bantahan daripada peguam yang mewakili kedua-dua pemain tersebut yang memaklumkan kepada panel inkuiri bahawa Chandra membuat kenyataan media berhubung prosiding berkenaan.

Media sebelum itu melaporkan prosiding tersebut dijalankan secara sulit dan baik BWF mahupun BAM tidak pernah mengesahkan nama pemain yang terlibat.

Sementara itu, Mohamad Norza berkata, nasib dua pemain profesional tersebut dijangka diketahui dalam tempoh satu hingga dua minggu lagi.

Media sebelum ini melaporkan kedua-dua pemain itu masing-masing menghadapi enam pertuduhan mengatur perlawanan bagi tempoh 2013 hingga  2016 dan berdepan penggantungan seumur hidup oleh BWF jika didapati bersalah. - Bernama